SPRM tahan pegawai kanan agensi kerajaan, kemuka dokumen palsu

SANDAKAN: Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan perbelanjaan kira-kira RM15,000.

Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan dua dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan tuntutan perbelanjaan mesyuarat serta perbelanjaan sempena lawatan kerja pegawai kanan sebuah kementerian.

Perbuatan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2023 dan 2024.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Sandakan esok.