KOTA KINABALU: Tiada sebab penyanyi Gospel Kristian, Israel Houghton dihalang daripada membuat persembahan di Sabah sekiranya beliau mematuhi undang-undang tempatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman berkata, pihak berkuasa juga boleh mengambil langkah munasabah bagi memastikan sensitiviti masyarakat setempat terus dihormati sepanjang penganjuran konsert berkenaan.
“Sekiranya pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang kita dapat memastikan bahawa Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan atau menyinggung sensitiviti masyarakat setempat.
“Selain itu, jika langkah munasabah dapat diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya.
Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, beliau terkejut apabila mengetahui laporan polis dibuat berhubung cadangan penganjuran konsert penyanyi berkenaan di Kota Kinabalu.
Menurutnya, Sabah sejak dahulu terkenal sebagai negeri yang menjunjung tinggi nilai toleransi, dengan masyarakat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan penganut agama lain hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.
“Justeru, apabila laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran sebuah konsert Kristian, yang menampilkan seorang penyanyi Kristian dan ditujukan kepada penonton Kristian, perkara ini sememangnya mengejutkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anifah berkata, beliau difahamkan Israel Houghton sebelum ini pernah menyuarakan sokongannya terhadap Israel menerusi media sosial.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu menimbulkan persoalan apabila sebuah kumpulan muzik heavy metal yang turut secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Israel dibenarkan mengadakan persembahan di Stadium Bukit Jalil pada bulan lalu.
“Mengapa wujud layanan yang berbeza? Adakah kerana sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini mula menular dalam masyarakat kita?” katanya.
Beliau berkata, ketika menjadi Menteri Luar, Malaysia pernah menerima atlet yang menyokong Israel untuk menyertai temasya sukan seperti Sukan ASEAN dan Sukan Asia.
Katanya, kerajaan ketika itu mengambil pendirian jelas dengan membenarkan mereka memasuki Malaysia dengan syarat menghormati sensitiviti tempatan dan tidak mengibarkan bendera Israel.
“Prinsipnya jelas, selagi mereka mematuhi undang-undang dan menghormati sensitiviti tempatan, kita boleh mengambil langkah yang munasabah untuk mengelakkan sebarang provokasi,” katanya.
Dalam pada itu, Anifah berkata, konsert berkenaan perlu dilihat berdasarkan tujuan penganjurannya yang dinyatakan sebagai acara untuk penganut Kristian.
“Beliau bukan datang ke sini untuk menyebarkan agama Kristian dalam kalangan umat Islam kerana acara tersebut telah dinyatakan dengan jelas sebagai acara untuk penganut Kristian sahaja.
“Agama Kristian mempunyai pelbagai denominasi dan Israel Houghton mempersembahkan muzik Gospel yang merupakan bentuk muzik keagamaan yang lazim dalam kalangan banyak denominasi Protestan dan Reformed yang juga telah lama bertapak di Sabah,” katanya.
Menurutnya, perkara sedemikian sebelum ini tidak pernah menjadi masalah di Sabah dan tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kita tidak seharusnya menjadikannya satu masalah sekarang.
“Jangan bawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah,” katanya.