PENAMPANG: Selepas lebih 17 tahun, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan di Beverly Hills, Penampang, pada 2009 akhirnya berjaya ditahan polis.
Suspek ditahan pada 22 Oktober lalu di sebuah kediaman di sekitar Kolombong, Inanam, Kota Kinabalu, hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang berlaku pada 11 April 2009.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalahan itu boleh membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
“Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya.
Menurut Arisanti, kejayaan tangkapan itu mencerminkan komitmen dan kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah serta memastikan individu yang disyaki terbabit dalam jenayah serius terus dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata, tangkapan itu turut membuktikan usaha berterusan polis dalam mengesan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan, meskipun kes berkenaan berlaku lebih sedekad lalu.