KOTA KINABALU: Seramai 169 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 25 operasi penguatkuasaan di tujuh daerah di negeri ini, dari 13 hingga 17 Oktober lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi itu membabitkan pemeriksaan terhadap 530 individu di beberapa lokasi strategik.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Tenom dan Keningau bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Daripada jumlah yang ditahan, 131 adalah warga Filipina, 36 warga Indonesia manakala dua lagi warga Pakistan.
“Warga Filipina yang ditahan membabitkan 53 lelaki dewasa, 39 perempuan dewasa, 19 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi warga Indonesia pula, katanya, mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan, manakala dua warga Pakistan yang ditahan adalah lelaki dewasa.
Sitti Saleha berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my,” katanya