Loji solar Kolombong mula operasi 40 hari lebih awal

KOTA KINABALU: Loji solar berskala besar Kolombong memulakan operasi komersial 40 hari lebih awal daripada jadual, sekali gus memperkukuh usaha Sabah meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, loji berkapasiti penyaluran tenaga 15 megawatt arus ulang-alik (MWac) itu memulakan operasi komersial pada 17 Oktober lalu, berbanding tarikh asal yang dijadualkan pada 26 November 2026.

Menurutnya, loji yang dibangunkan dan dimiliki TG Solar Sdn Bhd di bawah Kumpulan Teck Guan itu merupakan projek solar berskala besar pertama yang melengkapkan keseluruhan proses perancangan, pelaksanaan dan penyiapan di bawah seliaan kawal selia ECoS menerusi program Solar Berskala Besar Sabah (LSS-Sabah) 2024.

“Loji berkenaan mempunyai kapasiti solar terpasang sebanyak 22.5 megawatt puncak (MWp) dan dijangka membekalkan kira-kira 33.4 gigawatt-jam (GWh) elektrik setahun ke grid Sabah, bersamaan dengan keperluan elektrik lebih 9,000 rumah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi komersial loji itu menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu kepada bekalan elektrik Sabah.

“Pencapaian ini 40 hari lebih awal daripada jadual mencerminkan komitmen dan penyelarasan pihak pemaju, kontraktor, pelbagai jabatan kerajaan, pihak utiliti serta pasukan yang terlibat,” jelasnya.

Beliau berkata, projek itu diberikan menerusi proses bidaan kompetitif Solar Berskala Besar (LSS) oleh ECoS pada 2024, sekali gus membuktikan keberkesanan kaedah berkenaan dalam memudah cara pembangunan tenaga boleh baharu.

“Keberhasilan pelaksanaan projek ini membuktikan keberkesanan bidaan kompetitif dalam memudah cara pembangunan tenaga boleh baharu, selain memperlihatkan keupayaan pemaju tempatan Sabah melaksanakan projek tenaga berskala besar,” ujar beliau.

Kata beliau, ECoS akan terus menyokong pembangunan tenaga boleh baharu secara bertanggungjawab dengan mengimbangi aspek kebolehpercayaan bekalan, kemampuan kos dan kemampanan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“Loji yang terletak di kawasan seluas kira-kira 36.1 ekar di Jalan Cenderakasih, berhampiran Jalan Lintas, Kolombong itu menggabungkan pemasangan panel solar di atas tanah dan bumbung, membabitkan 30,000 modul solar dwimuka,” tambah beliau.

Tenaga elektrik yang dijana dibekalkan kepada Sabah Electricity menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun melalui sambungan 33 kilovolt (kV) di Pencawang Masuk Utama Kolombong.

Projek itu dilaksanakan dengan GV Borneo Sdn Bhd sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), dengan sokongan perunding serta kakitangan tapak tempatan.

Loji berkenaan mula menyalurkan tenaga solar ke grid pada 8 September 2026 sebelum memulakan operasi komersial pada 17 Oktober lalu.

Menurut beliau, projek itu menyumbang kepada kepelbagaian sumber penjanaan elektrik Sabah, memperkukuh keselamatan tenaga serta meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu di Kota Kinabalu.

Sebagai pengawal selia sektor tenaga negeri, ECoS akan terus memantau pembangunan tenaga boleh baharu bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, piawaian teknikal dan keperluan grid, di samping melindungi kepentingan pengguna.