KUALA LUMPUR: “Penting juga untuk dijelaskan siapa yang mengeluarkan arahan pembatalan itu supaya rakyat Sabah mendapat pencerahan dan boleh membuat keputusan pada tahun hadapan,” kata Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika mencelah sesi penggulungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Dewan Rakyat semalam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah, rakyat Sabah perlu mengetahui pihak yang mengarahkan pembatalan 13 projek Jalan Luar Bandar (JLB) di negeri ini bagi membolehkan mereka membuat penilaian dan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Saya ingin kepastian apakah ini merujuk kepada 13 jalan luar bandar di Sabah dibawa kendalian KKW dan apakah statusnya nanti? Apakah dia dibatalkan terus atau dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan?,” ujar beliau.
Menjawab pertanyaan itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa pembatalan berkenaan turut melibatkan projek jalan di kawasan Parlimen Penampang.
“Jalan itu termasuk jalan di kawasan Yang Berhormat. Saya sahkan memang termasuk jalan itu dan insya-Allah tahun hadapan kita sambung semula,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperincikan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan berkenaan ketika menjawab pertanyaan itu.
Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar, Ahmad Zahid memaklumkan terdapat projek pembangunan luar bandar bagi tahun ini di Sabah dan Sarawak yang dibatalkan meskipun peruntukan telah disediakan.
Beliau berkata, arahan pembatalan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha kementerian, namun tidak memperincikan kementerian yang terlibat atau jumlah projek yang terjejas.