Perselisihan faham dipercayai punca remaja terkunci dalam bilik bersama pisau

KOTA MARUDU: Pasukan bomba berjaya memujuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang terkunci di dalam sebuah bilik bersama sebilah pisau dalam kejadian cubaan bunuh diri, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PKPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.18 pagi sebelum menggerakkan sepasukan lapan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba pada jam 10.26 pagi dan mendapati mangsa berada di dalam bilik berkenaan dalam keadaan terkunci serta dipercayai membawa sebilah pisau.

“Pasukan bomba bertindak memujuk mangsa bagi menenangkan keadaan.

“Mangsa kemudiannya cuba keluar melalui tingkap di bahagian belakang bilik.

“Pasukan bomba seterusnya naik ke bahagian bumbung berhampiran tingkap belakang untuk meneruskan usaha memujuk dan menenangkan mangsa bagi memastikan keselamatannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Usaha memujuk itu berhasil apabila mangsa berjaya ditenangkan dan berada dalam keadaan terkawal pada jam 10.55 pagi.

Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya pada jam 11.05 pagi dalam keadaan baik dan selamat.
Menurut maklumat ahli keluarga, mangsa dipercayai bertindak sedemikian selepas berlaku perselisihan faham dengan adik-beradiknya.

Operasi membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan lapan anggota BBP Kota Marudu itu turut mendapat bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas pihak bomba memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ahli keluarga.