Lelaki didakwa edar lebih 32kg syabu di Penampang

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 39 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 32,007.56 gram dadah jenis methamphetamine di Penampang, bulan lalu.

Tertuduh, Daniel Darwis, yang berasal dari Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa melakukan kesalahan itu di belakang bangunan sebuah premis di Jalan Bundusan, Penampang kira-kira 8.30 malam pada 21 Oktober 2026.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anak Anthony mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.

-tamat-

Caption : Lelaki edar lebih 32kg syabu di Penampang bulan lalu didakwa di Mahkamah.