KUALA LUMPUR: Tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menyaksikan perkembangan apabila kerajaan Persekutuan memberi jaminan baki RM900 juta Pemberian Khas interim kepada negeri itu akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan mewartakan perintah berkaitan sebelum akhir tahun ini bagi membolehkan baki pembayaran berkenaan disalurkan kepada Sabah.
Katanya, sebanyak RM600 juta daripada keseluruhan geran khas interim RM1.5 bilion sudah dibayar, manakala baki RM900 juta akan diserahkan sebaik sahaja proses pewartaan selesai.
“Insya-Allah, perintah itu akan diwartakan sebelum akhir tahun ini. Baki bayaran akan dibuat selepas perkara itu selesai,” katanya ketika menggulung perbahasan peruntukan Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (GRS-Tuaran) yang meminta penjelasan mengenai tempoh pembayaran baki geran khas berkenaan.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan geran khas tahunan Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai bayaran interim sementara jumlah sebenar hak negeri itu dimuktamadkan.
Bayaran pertama RM600 juta disalurkan pada 12 Jun lalu, manakala baki RM900 juta masih menunggu proses pewartaan perintah berkenaan.
Perkembangan itu menjadi antara langkah susulan dalam usaha memenuhi hak Sabah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, khususnya pemberian 40 peratus daripada peningkatan hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu berbanding kutipan pada 1963.
Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah masih belum mencapai persetujuan mengenai jumlah sebenar yang perlu dibayar berdasarkan formula berkenaan.
Dalam pada itu, Madius turut meminta jaminan supaya pewartaan perintah baharu itu tidak menjejaskan hak perlembagaan Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
Menjawab perkara itu, Amir Hamzah menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan hak Sabah terhadap pembayaran berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Akauntan Negara merekodkan lebih RM14 bilion wang tidak dituntut setakat 30 September lalu.
Katanya, antara faktor utama wang berkenaan masih belum dituntut ialah kurangnya kesedaran orang ramai mengenai kewujudan wang itu serta kegagalan mengesan pemilik berikutan maklumat perhubungan yang tidak dikemas kini.
“Kerajaan turut menyediakan portal eGUMIS bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membuat tuntutan wang tidak dituntut secara dalam talian, termasuk penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum ini berkata, sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 sudah dipenuhi, dengan bayaran interim Sabah daripada hasil Persekutuan meningkat daripada RM26 juta kepada RM1.5 bilion setahun, sementara rundingan berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah masih diteruskan.
“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan sepenuhnya pembayaran 40 peratus melalui proses ini dan kita berharap Kerajaan Persekutuan memenuhi hak kita iaitu 40 peratus yang merupakan hak terbesar kita di bawah MA63,” katanya.