Budak 12 tahun rentung, 30 rumah musnah di Tawau

TAWAU: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan rentung selepas 30 rumah musnah dalam kebakaran besar di Kampung Sentosa, Jalan Utara Baru Hilltop, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Jackson Zack ditemukan pasukan bomba di dalam bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi ketika operasi pemeriksaan dan overhaul dijalankan.

Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan seminit kemudian.

Menurutnya, jentera tiba di lokasi pada jam 6.47 pagi dan mendapati enam rumah jenis separuh kekal serta tidak kekal sedang terbakar.

“Bagaimanapun, api merebak dengan pantas sehingga membabitkan 30 rumah berdasarkan perkembangan operasi pada jam 8 pagi.

“Ketika operasi pemeriksaan dijalankan, pasukan bomba menemukan seorang mangsa rentung di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Moiley berkata, operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan kedudukan rumah yang terlalu rapat selain laluan masuk ke kawasan itu sempit.

Katanya, keadaan itu ditambah dengan ketiadaan pili bomba berhampiran lokasi kejadian yang menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air bagi operasi pemadaman.

“Keadaan rumah yang rapat dan laluan sempit memang menjadi cabaran kepada anggota bomba, ditambah pula tiada pili bomba di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita menggunakan beberapa aliran pancutan air dengan bantuan jentera tangki air bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya.

Dalam kejadian itu, kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil sepenuhnya dengan anggaran keluasan keseluruhan kawasan terbakar 7,124.84 meter persegi.

Bagaimanapun, tindakan pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan kira-kira 250 rumah daripada turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

Operasi pemadaman dilaporkan terkawal pada jam 8 pagi dan kerja pemeriksaan lanjut diteruskan bagi memastikan tiada lagi mangsa atau punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.