Mansau-Ansau VM2026 teroka keunikan pelancongan wilayah utara

PULAU PINANG: Keunikan warisan sejarah, budaya, gastronomi dan tarikan alam semula jadi di Pulau Pinang dan Perak menjadi tumpuan menerusi program lawatan media Mansau-Ansau VM2026 anjuran Tourism Malaysia Sabah.

Program yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November 2026 itu menghimpunkan enam peserta terdiri daripada wakil media tempatan dan pempengaruh media sosial dari Sabah bagi meneroka pelbagai produk serta pengalaman pelancongan di kedua-dua negeri berkenaan.

Berasal daripada bahasa Kadazan Dusun yang bermaksud ‘jalan-jalan’, Mansau-Ansau VM2026 bertujuan memperkenalkan wilayah utara Semenanjung Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan domestik yang menawarkan kepelbagaian tarikan sempena Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).

Sepanjang program itu, peserta dibawa mengunjungi beberapa lokasi ikonik di Pulau Pinang termasuk George Town Heritage Walk & Street Arts, Chew Jetty, Penang Peranakan Mansion, The TOP Komtar, Entopia by Penang Butterfly Farm dan The Habitat Penang Hill.

Di Perak pula, penerokaan merangkumi Kellie’s Castle, Galeri Rumah Lat, Birch Memorial Clock Tower dan Tasik Cermin yang masing-masing menawarkan pengalaman berkaitan sejarah, warisan dan gastronomi negeri itu.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man berkata, Sabah dan Pulau Pinang berpotensi bekerjasama menawarkan pakej pelancongan gabungan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, dengan memanfaatkan rangkaian penerbangan serta keunikan produk pelancongan kedua-dua destinasi.

Abdul Hadi (tengah) bergambar kenangan bersama para pengamal media, pempengaruh dan pegawai Tourism Malaysia(TM) Sabah ketika di pejabat TM Wilayah Utara, di sini, Jumaat lalu.

Menurut beliau, kerjasama itu boleh dilaksanakan menerusi penyediaan pakej pelancongan yang menggabungkan kedua-dua negeri sebagai satu destinasi perjalanan, khususnya bagi pelancong dari pasaran antarabangsa.

“Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai pintu masuk atau titik permulaan perjalanan sebelum pelancong meneruskan penerbangan ke Sabah, begitu juga sebaliknya.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah bekerjasama dengan ejen pelancongan untuk menggabungkan pakej Sabah dan Pulau Pinang dalam satu perjalanan, sama ada selama seminggu atau dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena program lawatan media bertemakan Mansau-Ansau VM2026 di sini, Jumaat lalu.

Katanya, berdasarkan rekod 2025, seramai 64,500 pelancong dari Sabah berkunjung ke Pulau Pinang, manakala 243,900 pelancong dari Pulau Pinang mengunjungi Sabah.

Justeru, beliau berharap kerjasama antara kedua-dua destinasi dapat diperkukuh bagi menggalakkan lebih ramai pelancong dari Pulau Pinang berkunjung ke Sabah, selain meningkatkan kunjungan rakyat Sabah ke wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran program yang memasuki edisi ketiga itu selari dengan Pelan Strategik Tourism Malaysia 2022–2026 dalam usaha mempromosikan dan memperkukuh pelancongan domestik.

Menurutnya, penglibatan media arus perdana, media baharu, penulis blog dan Pemimpin Pendapat Utama (KOL) menerusi lawatan suai kenal mampu memperluas capaian promosi serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian produk pelancongan domestik.

“Usaha ini diharap dapat meningkatkan minat pelawat dari Sabah untuk berkunjung ke Pulau Pinang dan Perak, sekali gus mewujudkan potensi permintaan yang lebih kukuh bagi perkhidmatan penerbangan terus antara kedua-dua destinasi,” katanya.

Tourism Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dan rakan strategik bagi mempelbagaikan pendekatan promosi serta memperluas capaian pasaran pelancongan domestik selaras dengan aspirasi VM2026–2027.