KOTA KINABALU: Gejala buli dalam kalangan pelajar bukan lagi terhad kepada ejekan dan keganasan fizikal, sebaliknya turut berlaku menerusi media sosial yang berpotensi mempengaruhi tingkah laku golongan muda.
Focal Person Program Jalinan Sekolah dengan Komuniti (PIBKS) Kementerian Pendidikan, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, perkembangan itu memerlukan perhatian serius serta kerjasama menyeluruh semua pihak bagi membendung gejala berkenaan.
Menurutnya, kesedaran masyarakat terhadap isu buli perlu terus dipertingkatkan berikutan peningkatan kes yang dilihat berlaku dari tahun ke tahun.
Katanya, usaha menangani gejala itu tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah atau penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa, komuniti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak pendidikan.
“Kes buli dalam kalangan pelajar agak berbeza berbanding kes jenayah lain kerana ia memerlukan bimbingan serta kebersamaan seluruh pihak dalam komuniti agar masalah ini dapat ditangani dengan baik.
“Justeru, kolaborasi dan integrasi semua pihak amat penting supaya kes buli dapat dinoktahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall bersama PDRM di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mohammad Arif berkata, pengaruh media sosial juga tidak boleh dipandang ringan kerana pendedahan kepada kandungan yang memaparkan perbuatan buli berpotensi mendorong pelajar meniru tingkah laku negatif berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran program Town Hall sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kefahaman masyarakat menerusi perkongsian pandangan pelbagai pihak.
Menurutnya, penglibatan PDRM, PIBKS, ibu bapa serta pihak yang mempunyai kepakaran dalam aspek kesihatan mental dapat membantu membentuk pendekatan pencegahan buli yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara semua pihak dapat membantu membendung gejala buli, termasuk buli siber, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk golongan pelajar.
Turut hadir, Deputi Komisioner Polis, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Dr. Ahmad Jalil Mohd Razali.