Sabah sedia jadi lokasi pertama projek nuklear terapung negara – Masiung

KOTA KINABALU: Sabah bersedia menawarkan diri sebagai hab pangkalan pertama pembangunan tenaga nuklear negara menerusi teknologi Tenaga Nuklear Terapung atau Floating Nuclear Power Plant (FNPP), kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke fasa pembangunan tenaga nuklear selaras dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2030.

Katanya, kerajaan Sabah dan Persekutuan boleh menjalinkan kerjasama bagi membangunkan program tenaga nuklear berkenaan, yang turut boleh dibincangkan menerusi kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Masiung berkata, pembangunan FNPP boleh menjadi pilihan bagi memulakan projek tenaga nuklear negara berikutan kos yang lebih fleksibel serta tempoh pembinaan lebih pantas, selain kesesuaian Sabah yang mempunyai kawasan garis pantai luas.

Beliau berpandangan, negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil, mengambil kira kekangan sumber arang batu dan gas asli, yang sebahagiannya perlu diimport dari luar negara.

Katanya, pergolakan geopolitik di Selat Hormuz serta ketidaktentuan global yang semakin meruncing turut menuntut negara merangka strategi tenaga jangka panjang bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik.

“BBC melihat, kerajaan Sabah harus bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031 serta mengurangkan kebergantungan pada bahan bakar gas asli dan diesel dengan pasaran global yang tidak menentu.

“Perbelanjaan kos penggunaan loji FNPP lebih rendah dan kurang berisiko serta pembinaan lebih terkawal berbanding loji konvensional di daratan,” jelasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata Sabah dan Semenanjung merupakan pilihan paling praktikal untuk pembangunan loji tenaga nuklear bagi dekad akan datang sekiranya negara bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Masiung berharap cadangan pembangunan FNPP di Sabah dapat dibincangkan dan diterjemahkan menerusi rundingan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Wakil Rakyat Kuamut itu menambah, pembangunan tenaga nuklear juga merupakan antara pendekatan strategik untuk mengurangkan pelepasan karbon secara besar-besaran.