Gangsa WTAF suntik semangat Surianti buru kejayaan di Turki

KOTA KINABALU: Kejayaan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia (WTAF) di Ulsan, Korea Selatan menjadi suntikan semangat buat atlet Sabah, Surianti Umar untuk memburu satu lagi kejayaan pada kejohanan di Turki yang disasarkan tahun depan.

Surianti, 42 tahun berkata, beliau menyasarkan untuk meraih pingat pada kejohanan di Turki itu yang bakal memberikan cabaran berbeza, terutama dari segi format pertandingan dan keadaan cuaca.

“Insya-Allah kita akan target satu lagi kejohanan di Turki. Insya-Allah kita target juga medal di sana. Dengan format yang berlainan, mungkin cuaca pun juga berlainan. Kita nanti cuba dan akan buat latihan penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di lapangan terbang antarabangsa, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyertaan dalam WTAF di Korea Selatan merupakan pengalaman berharga kerana beliau berdepan format pertandingan yang belum biasa disertainya, selain perlu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk.

Katanya, keadaan itu menjadi antara cabaran sepanjang pertandingan memandangkan atlet Malaysia lebih biasa dengan cuaca panas, namun beliau berjaya mengharungi cabaran berkenaan dengan baik.

Surianti yang merupakan anak jati Tawau berkongsi bahawa beliau tidak menyangka dapat membawa pulang pingat pada penyertaan tersebut meskipun meletakkan harapan tinggi selepas menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan berkenaan.

“Ini kali pertama saya menyertai kejohanan besar seperti ini.

“Memang kita ada harapan tinggi selepas menjalani latihan, tetapi tidak sangka dengan doa kawan-kawan dan orang tersayang, akhirnya dapat juga membawa pulang pingat untuk Malaysia,” tambahnya.

Surianti yang mewakili Malaysia dalam kejohanan membabitkan penyertaan lebih 45 negara itu berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan pemanah dari Kazakhstan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Beliau merupakan pegawai penjara di Tawau dan anak bongsu daripada tiga beradik, mula menceburi sukan memanah tradisional kira-kira tiga tahun lalu.

Kejayaan itu turut mendapat bimbingan pengurus pasukan merangkap jurulatih, Shameer Abdurahman Hamid, 38, yang sudah bersama Persatuan Memanah Tradisional Daerah Tawau (PERMATA) selama empat tahun.

Beliau turut menyasarkan untuk kembali menyertai kejohanan di Korea Selatan pada masa akan datang sebagai usaha memperbaiki prestasi dan menimba lebih banyak pengalaman dalam sukan berkenaan.