TAWAU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual berusia 33 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini, hari ini.
Mangsa ditemukan penduduk kampung dalam keadaan tersangkut di tebing sungai selepas dilaporkan hilang oleh bapanya kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 1.56 petang sebelum menggerakkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.03 petang dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tersangkut di tepi sungai.
“Anggota yang lengkap dengan peralatan keselamatan diri kemudian turun ke sungai untuk membawa mangsa naik ke darat menggunakan pengusung.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 2.30 petang untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi yang turut membabitkan kerjasama polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.38 petang selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat.