KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi perlu memperkukuh mekanisme bantuan awal kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, khususnya anak Sabah dari kawasan pedalaman, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata bantuan perlu disalurkan sebaik sahaja tawaran kemasukan universiti dikeluarkan supaya pelajar dapat membuat persediaan pendaftaran tanpa dibebani masalah kewangan.
“Apabila anak mendapat tawaran universiti, seluruh keluarga di kampung turut gembira. Tetapi ibu bapa kemudian menghitung: cukupkah wang untuk menghantarnya? Kita mahu memastikan anak itu dapat mendaftar, menamatkan pengajian dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Madius mencadangkan supaya pelajar miskin dikenal pasti sebaik sahaja tawaran universiti dikeluarkan dan dibenarkan mendaftar sementara urusan pembiayaan diselesaikan.
“Kementerian perlu menghubungi pelajar yang menerima tawaran tetapi tidak mendaftar bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan membantu mencari penyelesaian.
“Bantuan sara hidup juga perlu dibayar mengikut jadual yang tetap bagi membolehkan pelajar merancang perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” ujarnya.
Menyentuh program FLYSiswa, Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata, pelaksanaan bantuan tambang penerbangan perlu mengambil kira keadaan sebenar pelajar dari kawasan pedalaman Sabah.
“Bagi FLYSiswa, perjalanan anak pedalaman Sabah bermula dari kampung, bukannya lapangan terbang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya bantuan berkenaan diselaraskan dengan takwim pengajian serta usaha mendapatkan tambang penerbangan yang berpatutan dipertingkatkan bersama pihak berkaitan.
Madius menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk anak-anak daripada keluarga miskin dan kawasan pedalaman.
“Kejayaan dasar pendidikan bukan hanya diukur melalui jumlah tawaran kemasukan universiti, tetapi juga kemampuan pelajar mendaftar dan menamatkan pengajian,” tambahnya.