Lelaki lemas ketika mandi di sungai Kiulu

TUARAN: Hasrat seorang lelaki untuk mandi-manda di sungai bertukar tragedi apabila dia ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihanyutkan arus di River Bothung View Campsite, Kiulu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun ditemukan orang awam sebelum bantuan CPR diberikan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan pada 4.15 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi seminit kemudian selepas menerima maklumat mangsa sudah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan bomba tiba pada 4.46 petang dan mengesahkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum memberikan bantuan CPR.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5.11 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.

“Operasi membabitkan enam anggota BBP Tuaran, dua anggota Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta empat anggota jentera REVO itu ditamatkan sepenuhnya pada 5.21 petang,” katanya