PUTATAN: Masyarakat diseru supaya mengutamakan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setiap individu perlu menghargai kesihatan diri sebagai asas kepada kehidupan yang sejahtera.
“Kesihatan merupakan aset paling berharga dalam kehidupan kerana tanpa tubuh yang sihat, kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera.
“Kita perlu menjalani hidup yang sihat seperti mengambil pemakanan yang seimbang, kekal aktif, rehat yang cukup dan membuat pemeriksaan kesihatan yang berkala.
“Pemeriksaan kesihatan berkala akan dapat membantu kita mengesan tahap kesihatan diri agar kita dapat mencegah awal sekiranya didapati mempunyai isu kesihatan, bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan PeKa B40 Putatan Tahun 2026 di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, program PeKa B40 atau kini dikenali sebagai PeKa Sihat merupakan inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan akses golongan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, khususnya dalam aspek saringan awal penyakit.
Antara manfaat yang disediakan kepada golongan yang layak termasuk saringan awal kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
“Klinik Kesihatan Putatan telah melaksanakan saringan terhadap 122 individu dalam tempoh sembilan bulan bermula 1 Januari hingga akhir September tahun ini.
“Jumlah ini agak rendah jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang layak.
“Oleh itu, saya memohon kerjasama tuan/puan yang hadir pada hari ini untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan PeKa B40 kepada orang ramai agar mereka mengetahui program berkenaan dan mendapat manfaat daripadanya,” jelasnya.
Program anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Putatan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan, Pejabat Daerah Putatan dan Klinik Kesihatan Putatan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya derma darah, forum kesihatan dan Jualan Rahmah Madani Bergerak.
Shahelmey turut berharap penganjuran program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di daerah Putatan mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya dan Pegawai Daerah, Masawi Salleh.