KOTA KINABALU: Seni lukisan cat air terus menonjolkan keaslian karya pelukis tempatan meskipun berhadapan dengan kemajuan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Datuk Pengiran Abdul Azis Pengiran Damsah berkata, pihaknya berhasrat melibatkan pelukis cat air dalam program kebudayaan anjuran lembaga itu.
“Kepentingan seni cat air dalam industri seni tempatan tidak boleh dinafikan, malah pakaian etnik kita di Sabah boleh menjadi sumber ilham kepada pelukis untuk menghasilkan karya seni.
“Dalam dunia hari ini yang semakin dipengaruhi arus pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), pameran seperti ini hadir sebagai medium penting dalam menonjolkan keaslian seni.
“LKNS akan terus menyokong usaha memartabatkan seni warisan dan memperkasakan pelukis-pelukis tempatan,” katanya ketika merasmikan pameran 3 Man Show Watercolor Exhibition di Balai Seni Lukis Sabah, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, pameran yang berlangsung dari 19 September hingga 13 Disember 2026 itu turut mengingatkan masyarakat tentang nilai sentuhan manusia dan ketelitian dalam menghasilkan karya seni.
Menurut Abdul Azis, pameran itu menghimpunkan karya tiga pelukis Sabah, iaitu Awad Bajerai, Charles Mawan dan Muslim Mattajim yang pernah menerima bimbingan daripada guru seni yang sama, Allahyarham Dzulkifli Abdul Rahman sebelum membentuk gaya masing-masing.
“Daripada akar bimbingan yang sama, kita hari ini dapat menyaksikan bagaimana ilmu tersebut berkembang menjadi tiga suara visual yang unik dan ketara perbezaannya,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar LKNS, Flora Iban serta Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Elisya Ahmad Shah.