Dua pasukan Bomba Sabah raih Naib Johan Pertandingan Inovasi Kebangsaan JPBM 2026

KOTA KINABALU: Dua pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah muncul naib johan dalam dua kategori pada Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan JBPM 2026.

Kejayaan itu diraih Pasukan Aquarapid Innovation dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau yang memperoleh naib johan bagi Kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Hybrid, manakala Pasukan Sinurambi dari BBP Tambunan turut meraih kedudukan sama dalam Kategori Inovasi.

Selain itu, Pasukan Zon Keningau turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima bagi Kategori Tangan Emas (Golden Hand).

Pencapaian berkenaan membuktikan komitmen, kreativiti dan semangat kerja berpasukan warga JBPM Sabah dalam menghasilkan idea serta penyelesaian inovatif yang mampu memberi nilai tambah kepada organisasi, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan tugas penyelamatan.

JBPM Sabah turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli pasukan, pegawai pembimbing, urus setia serta warga jabatan yang memberikan sokongan dan dorongan sepanjang persediaan serta penyertaan dalam pertandingan berkenaan.

Walaupun belum berjaya meraih kedudukan tertinggi, pencapaian itu disifatkan sebagai kejayaan bermakna dan pemangkin kepada usaha memperkukuh budaya inovasi serta kecemerlangan dalam organisasi.

Semua pasukan yang menyertai pertandingan turut digalakkan agar tidak berputus asa, sebaliknya terus berkarya, memperbaiki kelemahan dan menghasilkan idea lebih mantap untuk diketengahkan pada pertandingan akan datang.