Kerajaan negeri sediakan Pink Heaven bantu pesakit kanser

TAWAU: Kerajaan Sabah menyediakan kemudahan rumah transit Pink Heaven bagi membantu pesakit kanser dari luar Kota Kinabalu yang perlu mendapatkan rawatan di ibu negeri.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, kemudahan itu ditaja Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai antara bentuk sokongan kepada pesakit yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, rumah transit berkenaan memberi manfaat khususnya kepada pesakit dari Tawau, Sandakan dan Semporna yang memerlukan rawatan kanser di Kota Kinabalu.

“Kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada pesakit kanser, termasuk kemudahan rumah transit Pink Heaven yang ditaja Ketua Menteri Sabah.

“Kemudahan itu membantu pesakit dari luar Kota Kinabalu, termasuk Tawau, Sandakan dan Semporna yang perlu mendapatkan rawatan kanser di ibu negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Kesedaran Kanser Payudara Tawau 2026 di Hospital Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad.

Rina berkata, selain kemudahan rumah transit itu, bantuan kepada pesakit kanser turut disalurkan menerusi program kebajikan pihak hospital, wakil rakyat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menyediakan saringan percuma kanser payudara menerusi klinik kesihatan di seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman.

Katanya, pihak hospital juga melaksanakan program jangkauan luar (outreach) bagi mendekati masyarakat yang sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod beberapa tahun kebelakangan ini, antara 60 hingga 80 kes kanser payudara dikesan di Hospital Tawau, dengan hampir separuh membabitkan pesakit yang pertama kali didiagnosis.

Katanya, sebahagian pesakit hanya mendapatkan pemeriksaan apabila penyakit sudah berada pada tahap ketiga dan seterusnya, sekali gus boleh menyukarkan proses rawatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa wanita supaya tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan, selain meminta ahli keluarga khususnya suami menggalakkan isteri dan ibu menjalani saringan secara berkala.