TAWAU: Seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak tirinya mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam kejadian di sebuah rumah pekerja di daerah ini, Januari lalu.
Tertuduh warga Indonesia berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah pekerja di Kampung Ranggu, kira-kira jam 12 tengah malam, 19 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini tertuduh tidak diwakili peguam.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Haikal Hazwan Md Yatin, memohon satu tarikh baharu bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes dan eksibit susulan pengakuan salah tertuduh.
Mahkamah menetapkan 11 Januari 2027 untuk sebutan semula kes sebelum keputusan dan hukuman ditetapkan dan tertuduh diperintahkan terus ditahan di Penjara Tawau sehingga tarikh berkenaan.