BIMP-EAGA bukan sekadar platform kerjasama ekonomi

ΚΟΤΑ ΚΙΝΑBALU: Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) bukan sekadar platform kerjasama ekonomi, tetapi juga jambatan yang menghubungkan masyarakat di rantau ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Kerjasama serantau bukan sahaja berkembang menerusi perkongsian ekonomi, tetapi juga melalui hubungan erat antara masyarakat apabila kita bertemu sebagai jiran, berkongsi pengalaman serta memperdalam penghargaan terhadap budaya dan komuniti masing-masing,” katanya pada majlis perasmian Sukan Persahabatan BIMP- EAGA 2026 ke-12 di Magellan Sutera di sini pada malam Isnin.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah mengalu-alukan kehadiran kontinjen dari Brunei Darussalam, Malaysia dan Filipina.

“Walaupun kita amat kesal kerana rakan-rakan dari Indonesia tidak dapat menyertai temasya sukan kali ini, mereka tetap merupakan sebahagian penting daripada keluarga besar BIMP-EAGA. Kita mengirimkan salam mesra kepada mereka dan berharap dapat mengalu-alukan penyertaan mereka pada pertemuan akan datang,” katanya.

Beliau percaya kontinjen yang berkumpul pada Sukan Persahabatan itu bukan sekadar untuk bertanding dan memenangi pingat, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan serta menjalin persahabatan.

“Persaingan memberikan kemeriahan kepada temasya ini, namun semangat muhibah, setiakawan dan saling menghormati menjadikannya lebih bermakna dan berkekalan.

“Di gelanggang pertandingan, para atlet saling mencabar untuk mempamerkan prestasi terbaik. Di luar pertandingan pula, mereka berkongsi cerita, mencari persamaan dan menjalin persahabatan merentasi sempadan.

“Melalui pertemuan ini, sukan memperkukuh hubungan antara masyarakat kita serta memupuk semangat kekitaan yang lebih mendalam dalam kalangan penduduk di rantau ini,” katanya.

Hajiji turut menasihatkan para atlet supaya bersaing dengan penuh semangat dan kebanggaan, di samping sentiasa menjunjung semangat kesukanan.

“Ketika berusaha mencapai kecemerlangan, ingatlah bahawa pesaing anda juga merupakan jiran dan sahabat anda. Jabat tangan selepas perlawanan sengit, kata-kata semangat atau gelak tawa yang dikongsi bersama boleh membawa makna yang sama besarnya dengan kejayaan menaiki podium,” katanya.

“Sebahagian daripada anda akan pulang dengan membawa pingat, namun kita berharap setiap peserta akan pulang dengan kenangan indah dan persahabatan yang berkekalan,” katanya.

“Marilah kita menjadikan temasya ini sebagai sambutan persahabatan yang sebenar, di mana kita bersaing dengan penuh keazaman, saling menghormati dan pulang dengan hubungan yang lebih erat berbanding ketika kita tiba. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin di sini terus berkekalan walaupun selepas wisel penamat dibunyikan,” katanya.