11,132 Rumah Mesra SMJ diperuntukkan kepada penerima setakat tahun ini

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak 11,132 unit rumah di bawah program Rumah Mesra SMJ telah diperuntukkan kepada penerima setakat tahun ini.

Katanya, program Rumah Mesra SMJ merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi menyediakan rumah percuma serta membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan memiliki kediaman yang lebih baik, selamat dan selesa.

Berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 Kompleks Pendidikan St Simon di Magellan Sutera di sini malam ini, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan pemerkasaan generasi muda kerana masa depan Sabah bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan potensi mereka.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada kesaksamaan pendidikan, pendidikan inklusif di kawasan luar bandar, penerapan nilai dan identiti tempatan serta pemerkasaan kepimpinan sekolah.

“Pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membina masa depan negeri yang lebih mampan dan progresif.

“Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan melalui pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (Al).

“Usaha berterusan ini amat penting bagi memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada peluang pendidikan berkualiti, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing,” katanya.

Ketua Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan 14 jenis bantuan pendidikan yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak dan persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM254 juta bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada peluang pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Kita yakin bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan Sabah yang lebih makmur dan berdaya saing,” katanya.

“Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM620 juta dalam tempoh enam tahun yang lalu menerusi program Biasiswa Kerajaan Negeri. Pada tahun ini sahaja, kita telah membelanjakan sebanyak RM161 juta.

“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri turut meningkatkan bantuan kewangan kepada sekolah Cina, sekolah mubaligh dan badan-badan keagamaan bukan Islam kepada RM90 juta, berbanding RM70 juta pada 2025 dan RM43 juta bagi tempoh 2020 hingga 2021.

“Kerajaan Negeri kekal komited untuk menyediakan bantuan dan sokongan yang sewajarnya kepada sekolah-sekolah di negeri ini, termasuk sekolah mubaligh dan sekolah persendirian, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak kita,” katanya.

Antara inisiatif lain yang diperkenalkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah ialah program bantuan Sentuhan Kasih Rakyat pada 2025 yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima.

Beliau berkata, pada 2026, program itu diperluas kepada 140,000 penerima dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan dan peruntukan keseluruhan berjumlah RM339.16 juta.

Sementara itu, Ketua Menteri merakamkan penghargaan kepada para pengasas, barisan kepimpinan terdahulu, ahli Lembaga Pengelola, pendidik, kakitangan, ibu bapa, alumni serta semua pihak yang telah menyumbang kepada perkembangan Kompleks Pendidikan St Simon sepanjang 40 tahun lalu.

Beliau berkata, keistimewaan Kompleks Pendidikan St Simon terletak pada gabungan tiga institusi pendidikan, iaitu Prasekolah dan Tadika Datuk Simon Fung, Sekolah Rendah Swasta (SRS) Datuk Simon Fung dan Maktab Nasional.

“Kesinambungan pendidikan daripada peringkat awal kanak-kanak hingga sekolah menengah ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang memupuk ilmu pengetahuan, disiplin, pembentukan sahsiah dan kematangan diri pelajar,” katanya.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Mulia, Most Reverend Datuk John Wong, Archbishop Kota Kinabalu, serta semua pihak yang telah menyokong Kompleks Pendidikan St Simon sepanjang perjalanan penubuhannya.

“Kita juga mengenang dengan penuh penghargaan sumbangan mendiang Bishop Datuk Simon Fung, yang namanya diabadikan pada institusi pendidikan ini. Semoga legasi yang telah dibina terus dipelihara dan diperkukuh demi manfaat generasi masa kini dan akan datang,” katanya.