ICEBCS 2026 pacu penyelidikan berimpak tangani cabaran ekonomi global

Penyampaian anugerah Best Paper kepada pensyarah Fakulti Pengurusan & Ekonomi UPSI, Dr. Sharifah Robiah Tuan Hazam yang disampaikan oleh Hasnol.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa peranannya dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi apabila menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pengamal industri dan pembuat dasar dari dalam serta luar negara menerusi The 1st International Conference on Economics and Business Case Studies (ICEBCS) 2026, bagi menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan terhadap cabaran ekonomi dan perniagaan global.

Persidangan anjuran Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS tersebut menjadi platform perkongsian ilmu, pembentangan hasil penyelidikan serta pemerkasaan jaringan kerjasama antara universiti, industri dan pembuat dasar dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi yang mampan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, penyelidikan berkualiti tinggi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal bagi membantu negara mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin kompleks.

“Kerjasama strategik antara universiti, industri dan kerajaan perlu diperkasa supaya hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan dalam membentuk dasar serta menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang berlangsung secara hibrid di Auditorium Perpustakaan UMS dan platform Youtube Teh Tarik TV, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly. 

Tambah Kasim persidangan antarabangsa sulung tesebut berjaya menghimpunkan ratusan pembentang dan peserta dari pelbagai negara merangkumi bidang ekonomi, perniagaan, kewangan, perakaunan, pengurusan, keusahawanan, pelancongan dan pembangunan lestari.

“Antara pengisian utama persidangan ialah sesi forum mengenai ketahanan ekonomi dan perniagaan dalam era ketidaktentuan geopolitik yang dikendalikan oleh Dr. Izaan Jamil, dengan menampilkan Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Datuk Haji Mohd. Hasnol Datuk Ayub, bersama Dr. Saizal Pinjaman dan Dr. Janifal Alipal sebagai ahli panel.

“Forum ini memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi Sabah, peranan sektor swasta serta kepentingan kerjasama antara institusi akademik, industri dan kerajaan dalam merangka penyelesaian yang lebih berdaya tahan.

“Rakaman khas sesi podcast TV Teh Tarik yang membincangkan isu ekonomi semasa juga diadakan bagi memperluaskan akses masyarakat terhadap wacana akademik melalui medium yang lebih inklusif.

“Penganjuran ICEBCS 2026 mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan serta memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan pelancaran tiga penerbitan ilmiah hasil karya penyelidik UMS, iaitu Green Economics: Integrating Behavioural Insights for Sustainable Decision-Making oleh Profesor Dr. Caroline Geetha; Insights from Cross-Border Trade and Islamic Economy: A Study of Indonesia and Malaysia oleh Professor Madya Dr. Suddin Lada, serta Informal Economies in BIMP-EAGA: Contribution, Challenges and Facilitation oleh Dr. Saizal Pinjaman.

Hadir sama Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed.