Jamawi gesa syarat BUDI Diesel dikaji semula bagi bantu pengusaha muda sektor pertanian Sabah

KIULU: Syarat kelayakan Program BUDI Diesel perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih ramai pengusaha muda dalam sektor pertanian menikmati subsidi diesel, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, ramai pengusaha muda di Sabah tidak layak memohon BUDI Diesel kerana kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pertanian tidak didaftarkan atas nama sendiri.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana sebahagian besar mereka memperoleh kenderaan melalui kaedah sambung bayar atau pembiayaan syarikat, menyebabkan hak milik masih belum dipindahkan kepada pengguna sebenar.

“Di peringkat akar umbi, ramai pengusaha muda membeli kenderaan melalui sambung bayar atau pinjaman syarikat. Ada juga petani yang tidak mempunyai akaun bank tetapi mampu membayar ansuran bulanan kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pertanian.

“Namun, disebabkan nama kenderaan bukan atas nama mereka, mereka tidak layak memohon BUDI Diesel,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Kebun Dapur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, pada Selasa.

Turut hadir ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awg. Dzulkernain Awg. Hassan; Pengurus Besar KO-NELAYAN, Datuk Haji Yusof Haji Ag Besar serta Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas Giswa.

Jamawi berkata, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan semangat golongan muda yang telah memilih sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Kita sudah menggalakkan anak-anak muda menceburi bidang pertanian, penanaman padi, penorehan getah dan pelbagai aktiviti lain. Apabila mereka tidak layak menerima BUDI Diesel, sudah tentu ia memberi kesan kepada motivasi mereka untuk terus mengusahakan sektor ini,” ujar beliau. 

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membincangkan isu berkenaan dan menyampaikan maklum balas daripada pengusaha di Sabah.

Katanya, semua agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan turut akan dilibatkan dalam sesi dialog bagi mencari penyelesaian terbaik supaya bantuan subsidi diesel dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

Jamawi menambah bahawa kementeriannya sedang meneliti cadangan memperkenalkan konsep Kebun Dapur di sekolah-sekolah bagi memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan sejak di bangku sekolah.

Beliau turut memaklumkan Program Kebun Dapur menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 3,000 pengusaha kecil menyertainya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, menghampiri sasaran lima tahun program iaitu 5,000 peserta.

“Saya melihat mereka sangat bersemangat sehingga berkongsi hasil Kebun Dapur masing-masing di media sosial.

“Justeru, saya bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik bagi menghargai usaha mereka dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk menyertai program ini,” tambahnya. 

Katanya, kementerian juga bercadang memperkenalkan Anugerah Kebun Dapur Terbaik sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah di Tenom pada September depan sebagai penghargaan kepada peserta serta menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai program itu.