![]() |
| Harris Ali (tengah) ketika ditemui pemberita pada sidang media JPJ Sabah di Terminal Bas Inanam, malam Selasa. |
KOTA KINABALU: Seramai 60 pemandu menjalani saringan awal air kencing dalam Operasi Bersepadu Dadah terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sejak Julai lalu, dengan lima daripadanya didapati positif syabu.
Kesemua pemandu yang disahkan positif itu diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi berkenaan bertujuan mengesan pemandu yang menyalahgunakan dadah, selain memastikan mereka mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pengguna.
“Ia juga bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952, di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu serta syarikat pengangkutan mengenai tanggungjawab memastikan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PEWA), Ops Tegar dan Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di sini, malam Selasa.
Menurutnya, pemandu yang disahkan positif dadah akan dikenakan tindakan termasuk penahanan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (GDL/PSV), manakala lesen vokasional mereka akan digantung selama tiga bulan.
“JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap syarikat yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah mengikut syarat pelesenan yang ditetapkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan dari 16 Jun hingga 6 Julai lalu memeriksa sebanyak 3,941 kenderaan di seluruh Sabah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 218 kenderaan dikenakan tindakan, termasuk 28 disita, manakala 588 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Pemandu warga asing yang memandu tanpa lesen atau dokumen sah tidak lagi boleh dikenakan kompaun. Sebaliknya, kes mereka akan dibawa ke mahkamah sebelum kenderaan terbabit boleh dilepaskan,” ujar beliau.
Sementara itu, JPJ Sabah turut membuka semua kaunter, termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC), pada setiap Sabtu dan Ahad selama empat minggu berturut-turut bagi memudahkan urusan pertukaran hak milik kenderaan berkaitan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
.png)