KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan 560 penempatan tetap Pegawai Perubatan di Sabah bermula Oktober ini.
Beliau berkata, langkah itu amat penting dalam usaha menangani kekurangan petugas kesihatan yang sekian lama membelenggu negeri ini, terutama di daerah luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, komitmen Kerajaan Persekutuan menambah bilangan pegawai perubatan di Sabah wajar dihargai, namun aspek pengekalan tenaga kerja turut perlu diberi perhatian.
“Kita juga perlu memastikan pegawai yang dilantik benar-benar melapor diri dan terus berkhidmat di Sabah dalam tempoh jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Julita berkata, usaha memperkukuh sistem kesihatan tidak boleh tertumpu kepada pengambilan kakitangan semata-mata, sebaliknya perlu disertai langkah meningkatkan kadar pengekalan petugas, khususnya mereka yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau mengulangi cadangan supaya skim insentif seperti Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dikembalikan dan diperkukuh, selain meningkatkan sokongan kepada petugas perubatan yang berkhidmat di kawasan mencabar serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
“Pengambilan kakitangan merupakan langkah penting, namun pengekalan mereka juga sama kritikal.
“Kita perlu memastikan profesional kesihatan yang memilih untuk berkhidmat di Sabah diberikan sokongan dan galakan untuk membina kerjaya jangka panjang di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap kerjasama erat dengan KKM dapat diteruskan bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan, menangani kekurangan tenaga kerja serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat Sabah.
Katanya, penambahan jawatan tetap itu dijangka membantu mengurangkan tekanan kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan di seluruh negeri, sekali gus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, terutama bagi masyarakat di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.