KOTA KINABALU: Sebanyak 39 rumah setinggan yang dibina secara haram di kawasan rizab parit dan sungai di belakang Likas Square dirobohkan dalam operasi bersepadu sebagai langkah membanteras pencerobohan tanah kerajaan serta mengurangkan risiko banjir.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dilaksanakan susulan pemantauan mendapati struktur haram didirikan semula di kawasan berkenaan, walaupun tindakan penguatkuasaan pernah diambil sebelum ini.
Menurut DBKK, kebanyakan penghuni yang mendirikan semula penempatan tersebut dikenal pasti terdiri daripada bukan warganegara.
“Kewujudan semula struktur haram di kawasan rizab parit dan sungai bukan sahaja menjejaskan fungsi sistem saliran, malah mengundang risiko keselamatan awam serta memberi kesan kepada kelestarian alam sekitar.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membanteras pencerobohan tanah kerajaan, memelihara rizab sungai dan memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara terancang serta mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DBKK berkata, sebelum operasi dijalankan, pihak berkuasa telah mengeluarkan sebanyak 39 Notis Pengosongan, Perobohan dan Pengalihan kepada penghuni pada 25 Jun lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari.
Katanya, operasi perobohan dilaksanakan pada 9 Julai lalu selepas tempoh notis tamat.
“Daripada keseluruhan rumah yang dirobohkan, sebanyak 38 buah dirobohkan menggunakan jentera kontraktor yang dilantik oleh JPS, manakala sebuah lagi dirobohkan sendiri oleh pemiliknya,” menurut kenyataan itu.
Menurut DBKK, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Sehubungan itu, DBKK menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah atau struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan, termasuk kawasan rizab sungai dan rizab parit, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
“Penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi melindungi aset kerajaan, memelihara kepentingan awam serta memastikan kesejahteraan bandar raya.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menceroboh tanah kerajaan atau membina sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam menjayakan operasi bersepadu berkenaan.