TUARAN: Seorang lelaki berusia 57 tahun cedera parah selepas dihempap pokok ketika melakukan kerja-kerja menebang pokok di Jalan Perumahan Kionsom Baharu, Tamparuli, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan berada kira-kira 700 meter dari jalan utama, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.30 petang dan mendapati seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas dihempap pokok ketika menjalankan kerja-kerja menebang pokok.
“Mangsa berada kira-kira 700 meter dari jalan utama. Pasukan bomba memberikan bantuan awal sebelum membawa mangsa keluar menggunakan pengusung ke lokasi ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.48 petang,” katanya.