Lelaki rentung, rumah dan kedai musnah dalam kebakaran di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Jambatan 3, Batu 7, Kampung Batu Putih, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohammad Zarman Salamat, 30, ditemui pasukan bomba pada jam 6 pagi selepas api berjaya dikawal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 4.56 pagi sebelum sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan tiba kira-kira sembilan minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 60 x 40 kaki persegi serta sebuah kedai berukuran 15 x 40 kaki persegi.

“Kedua-dua premis berkenaan musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.24 pagi sebelum mangsa ditemukan rentung di dalam kawasan kebakaran.

“Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas anggota bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.