PM Anwar, KM Hajiji rakam ucapan takziah pemergian Karim Bujang

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang, hari ini.

Anwar menerusi ucapan takziahnya menzahirkan rasa dukacita atas berita pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai satu kehilangan.

“Semoga seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan, serta semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau di tempat terbaik di sisi-Nya.

“Al-Fatihah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyampaikan salam takziah kepada balu Allahyarham, Datin Maimun Pg Bagul serta seluruh keluarga Karim.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan antara pemimpin politik di Sabah yang banyak menyumbang bakti kepada negeri itu, termasuk berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.

“Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi rasa kehilangan dan saat yang sukar ini.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Karim, 73, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, pada tengah hari tadi.

Pemergian Allahyarham meninggalkan kenangan sebagai tokoh politik veteran Sabah yang pernah mewakili kawasan Bongawan selama lebih dua dekad.