KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel perlu mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk serta struktur ekonomi Sabah bagi memastikan dasar itu tidak membebankan rakyat di negeri ini.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha Kerajaan Persekutuan memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak adalah langkah yang wajar dan perlu disokong.
Beliau berkata, langkah mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah, selain memperluaskan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda tertentu, menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar keperluan rakyat.
“Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira keadaan geografi, corak pergerakan penduduk dan struktur ekonomi Sabah yang berbeza daripada negeri lain.
“Sabah sebuah negeri yang luas dengan jarak perjalanan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman yang jauh.
“Bagi sebahagian rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, menguruskan urusan kerajaan, menjual hasil pertanian atau mendapatkan barangan keperluan mengambil masa berjam-jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nizam berkata, penggunaan diesel di Sabah bukan sekadar untuk perjalanan harian, malah menjadi sebahagian daripada keperluan asas yang menyokong rantaian ekonomi rakyat.
Menurutnya, sektor pertanian, perikanan, pengangkutan, pembinaan, perusahaan kecil serta aktiviti ekonomi luar bandar masih bergantung kepada kenderaan dan peralatan berasaskan diesel.
Sehubungan itu, beliau berharap kuota pembelian diesel bersubsidi serta syarat kelayakan yang ditetapkan dapat dinilai secara berkala berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat Sabah.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel kepada penduduk pedalaman, petani, nelayan, pengusaha kecil serta mereka yang menggunakan diesel bagi bot, generator dan keperluan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, katanya, peningkatan kos pengangkutan turut memberi kesan kepada golongan belia yang sedang memulakan kerjaya, mengusahakan perniagaan kecil, menghantar hasil jualan, mengikuti latihan kemahiran serta terbabit dalam aktiviti sukan dan ekonomi kreatif.
“Ramai belia Sabah bergantung kepada kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak antara daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti serta menjalankan perniagaan.
“Sebarang peningkatan kos operasi boleh mengecilkan peluang mereka membina kerjaya dan menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, isu itu boleh ditangani menerusi rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemimpin setempat, persatuan industri serta komuniti pedalaman.
Katanya, walaupun menyokong usaha memastikan subsidi lebih bersasar, pelaksanaannya perlu adil, praktikal dan tidak menambah beban kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Keperluan Sabah tidak boleh dinilai hanya berdasarkan angka penggunaan secara umum. Ia perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan, kekurangan pengangkutan awam dan kebergantungan ekonomi setempat terhadap diesel.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel dan bersedia melakukan penyesuaian yang sewajarnya supaya matlamat membendung ketirisan dapat dicapai tanpa menjejaskan kehidupan serta kegiatan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.