BEAUFORT: Tindakan pantas polis berjaya menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kes memeras ugut dan membuli seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa yang dipercayai dipaksa menyerahkan wang secara berulang selain diugut oleh beberapa individu.
Katanya, susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Hasil tindakan pantas dan risikan yang dijalankan sejurus laporan diterima, polis berjaya menahan empat suspek bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua suspek sudah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan dan keputusan selanjutnya.
“Polis memandang serius sebarang bentuk buli, pemerasan, ugutan jenayah atau gangguan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status,” katanya.
Beliau menggesa murid, pelajar, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah supaya segera membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes buli, pemerasan dan ugutan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.