Jamu Haus Borneo mampu jana ekonomi luar bandar di Sabah – Jamawi

KOTA KINABALU: Industri herba dan perubatan tradisional dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar di Sabah apabila tanaman berasaskan herba berpotensi dikomersialkan sebagai sumber pendapatan baharu kepada masyarakat, khususnya golongan wanita.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha memperkasakan tanaman herba bukan sahaja mampu menggalakkan amalan kebun dapur, malah membuka peluang kepada penduduk luar bandar untuk mengusahakan produk bernilai tambah berasaskan tanaman yang mudah ditanam di persekitaran rumah.

“Bidang ini mempunyai potensi dan peluang yang sangat luas untuk diterokai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan outlet Jamu Haus Borneo di Anjung Selera Likas pada Ahad, yang diusahakan oleh usahawan Sabah, Zaklean Ansari Zambri menerusi kerjasama dengan pakar dari Indonesia, Dr. Rianti Maharani.

Menurutnya, kementerian akan menyokong usaha memperluaskan ilmu pemprosesan herba dengan meminta Zaklean mengendalikan kursus berkaitan kaedah memproses tanaman yang mempunyai nilai perubatan bagi memberi pendedahan kepada wanita di kawasan luar bandar.

“Langkah ini penting supaya wanita di luar bandar memperoleh pengetahuan, kecekapan dan kemahiran memproses tanaman herba, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan komuniti,” jelasnya.

Jamawi berkata, tanggapan bahawa jamu dan perubatan tradisional semakin dilupakan tidak lagi tepat kerana masyarakat kini semakin kembali memberi perhatian terhadap penggunaan herba semula jadi yang diyakini mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.

Beliau berkata, perkembangan itu membuka ruang luas kepada industri herba untuk terus berkembang sebagai sektor ekonomi berpotensi tinggi, terutama di Sabah yang kaya dengan sumber biodiversiti.