Polis siasat khianat pondok doa di Putatan

PENAMPANG: Polis sedang mengesan individu yang dipercayai melakukan perbuatan khianat terhadap sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 13 Julai lalu selepas pondok doa berkenaan didapati dalam keadaan berselerak.

Menurutnya, beberapa barangan di dalam pondok doa itu juga dipercayai dirosakkan oleh individu yang masih belum dikenal pasti.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

“Seksyen 295 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian, ketenteraman awam serta sensitiviti agama.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.