BUDI Diesel Sabah dijangka ditambah baik dalam tempoh tiga minggu

RANAU: Pelaksanaan inisiatif BUDI Diesel di Sabah dijangka menerima penambahbaikan dalam tempoh dua hingga tiga minggu susulan sesi libat urus yang sedang dijalankan antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di peringkat Persekutuan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya membentangkan hasil libat urus bersama kedua-dua kementerian berhubung kesan pelaksanaan subsidi diesel bersasar terhadap rakyat Sabah.

“Saya telah melaporkan secara keseluruhannya bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang kita terjejas, bagaimana kenderaan pikap kita terjejas dan sebagainya, termasuk golongan belia yang memiliki kenderaan pikap dan jeep untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, pada Selasa.

Hadir sama, ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar Hj Abdul Rashid.

Menurut beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dan mengarahkan Kabinet Negeri mengadakan sesi taklimat serta libat urus bersama wakil Kementerian Kewangan dan KPDN bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah.

Katanya, sesi pertama akan melibatkan ketua-ketua jabatan negeri di Menara Kinabalu pada Jumaat ini, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Jamawi berkata, pelaksanaan subsidi bahan api perlu mengambil kira keunikan Sabah yang mempunyai faktor geografi dan jarak perjalanan berbeza berbanding Semenanjung.

“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah, sebab itu keperluan penggunaan diesel dan petrol di Sabah berbeza.

“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, tetapi jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga,” jelasnya.

Dalam majlis itu, kementeriannya turut menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau melibatkan peralatan seperti tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berkualiti.

Tambah Jamawi, Kerajaan Negeri kini giat memulihkan padang-padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebelum ini sebagai usaha memperkasa sektor penternakan ruminan dan unggas di Sabah.

Beliau memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Kebun Dapur amat menggalakkan apabila lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terlibat dalam program berkenaan.

“Kita menjangkakan 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, tetapi melihat kepada semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya sedang membangunkan platform digital kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah.