TAWAU: Dua premis perniagaan di kawasan Kalabakan dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau selepas didapati gagal mematuhi peraturan penandaan harga.
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguat kuasa KPDN Tawau bagi memantau aktiviti perdagangan serta memastikan peniaga mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan di premis terbabit tidak disertakan tanda harga jualan tunai seperti yang diwajibkan.
“Perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” katanya.
KPDN berkata, setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna perlu dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat bagi memastikan urus niaga lebih telus, khususnya melibatkan barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan barangan keperluan lain.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 15 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) turut dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang diperiksa.
“Tindakan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, terutama menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan berjalan secara beretika serta mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna,” jelasnya.
Bagi kesalahan tersebut, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, penalti boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.
“Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan isu kepenggunaan boleh menyalurkannya menerusi portal e-aduan KPDN, menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690, atau WhatsApp Aduan Pengguna di 019-2794317 / 019-8488000,” katanya.