Isirung sawit lebih RM600,000 dirampas, pekerja lari tinggalkan premis

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu merampas isirung kelapa sawit (kernel) dianggarkan bernilai lebih RM600,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata serbuan dijalankan hasil risikan dan kerjasama strategik antara PPM dengan MPOB bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengendalian isirung kelapa sawit tanpa lesen yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan di premis itu menemukan sejumlah besar isirung kelapa sawit selain beberapa aset yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.

“Bagaimanapun, beberapa pekerja di premis terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada MPOB untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 11 kes di bawah Akta 582 membabitkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 25 individu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras aktiviti menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan industri komoditi negara.

“PPM komited memastikan pematuhan undang-undang terus diperkasakan demi melindungi kepentingan industri sawit negara serta menghalang sebarang aktiviti haram daripada terus berleluasa,” katanya.