KPDN kesan satu kes dalam pemeriksaan harga barang keperluan

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Papar mengambil satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 hasil pemeriksaan berkaitan harga barangan keperluan asas di sekitar Pekan Papar, pada Selasa.

Pemeriksaan yang dilaksanakan oleh empat pegawai penguat kuasa KPDN Papar itu melibatkan pemantauan harga maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol, pemeriksaan pematuhan Penetapan Harga Maksimum Telur Ayam (PHMTA) serta pemeriksaan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di premis sekitar kawasan berkenaan.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, satu tindakan kes yang dikesan adalah hasil siasatan susulan aduan yang diterima, manakala pemeriksaan di premis lain mendapati kebanyakan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Hasil pemeriksaan turut mendapati peniaga mematuhi aspek penandaan harga selain memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan telah ditentusahkan mengikut keperluan undang-undang.

Menurutnya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, selain melindungi kepentingan pengguna khususnya berkaitan harga dan bekalan barangan asas.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan isu kepenggunaan boleh menyalurkannya menerusi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Pusat Panggilan KPDN 1-800-886-800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN atau menghubungi Pejabat KPDN Cawangan Papar di talian 088-904188.