Subsidi minyak Sabah dibawa ke Putrajaya – Azrul

KOTA KINABALU: Isu penyasaran subsidi minyak di Sabah antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Setiausaha Politik Kementerian Negeri Sabah sebagai persediaan menghadapi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata kerajaan negeri bersama pimpinan kerajaan sedang membawa isu itu kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaannya mengambil kira realiti serta keperluan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu diadakan seperti kelaziman sebelum persidangan DUN bagi menyelaras dan memperkasa peranan pegawai politik dalam memastikan penyampaian dasar kerajaan berjalan dengan berkesan.

“Selain menyelaras gerak kerja pegawai politik, mesyuarat turut membincangkan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat di peringkat negeri dan nasional.

“Antara yang diberikan perhatian ialah isu penyasaran subsidi minyak di Sabah. Kita yakin kerajaan negeri bersama pimpinan kerajaan sedang mengangkat perkara ini kepada Kerajaan Persekutuan supaya pelaksanaannya mengambil kira realiti, keperluan serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan bagi memastikan setiap isu, pandangan serta aspirasi masyarakat disampaikan kepada pihak berkaitan.

“Insya-Allah, kami akan terus menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan supaya setiap isu yang dibangkitkan mendapat perhatian demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah,” katanya.