Lima remaja ditahan bantu siasat vandalisme pondok ibadat

PENAMPANG: Polis menahan lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian vandalisme membabitkan sebuah pondok ibadat di daerah Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kes berkenaan berjaya diselesaikan susulan penahanan semua suspek pada 15 Julai hasil tindakan pantas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perbuatan vandalisme dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan khianat yang melibatkan rumah atau tempat ibadat kerana ia berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

Katanya, pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan berpandukan peruntukan undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula gambar serta video berkaitan kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Sammy turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.