Tiga beranak cedera rumah dihempap pokok tumbang

SANDAKAN: Tiga beranak termasuk dua kanak-kanak perempuan cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Gum-Gum Kecil Batu 16, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera ialah wanita berusia 47 tahun serta dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 11 tahun sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebatang pokok tumbang menghempap bahagian dapur sebuah rumah sehingga menyebabkan kerosakan dianggarkan 40 peratus.

“Tiga mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital oleh pihak KKM sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja memotong pokok menggunakan gergaji berantai sebelum mengalihkannya ke kawasan selamat.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi tadi,” katanya.