KOTA KINABALU: Festival Bagandang Daerah Beaufort kembali dianjurkan tahun ini selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2016.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, penganjuran semula festival itu bertujuan menghidupkan kembali kemeriahan acara berkenaan serta mempromosikan budaya masyarakat Beaufort sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
“Perayaan ini kita kembalikan selepas sekian lama tertangguh sejak 2016.
“Bagi pihak jawatankuasa, kita merancang semula penganjurannya untuk hidupkan suasana dan untuk kita perlihatkan kepada masyarakat dan rakyat.
“Festival Bagandang itu juga berpotensi mempromosikan keunikan budaya dan tarikan daerah Beaufort menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus menyokong usaha pemeliharaan warisan budaya tempatan.
“Idea ini juga adalah cita rasa, lahir daripada Tun sendiri semasa Tun menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Dalam pada itu, Isnin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Festival Bagandang Daerah Beaufort bagi tahun 2026 menyatakan bahawa kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Musa mengenai penganjuran pesta berkenaan, selain menjemput beliau untuk hadir sebagai tetamu kehormat dan merasmikan acara tersebut.
Tambahnya, festival yang dijadualkan berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November 2026 akan menampilkan pelbagai program dan jualan bagi menarik kehadiran pengunjung ke Beaufort.
“Kita mengharapkan lebih kurang 5,000 pengunjung yang hadir sebab peringkat ini kita baru kembalikan suasana itu.
“Saya mengharapkan kepada orang awam, orang ramai datanglah ke Beaufort, lawat-lawatlah kami, ziarahlah kami dan kita ramaikan, sama-sama meriahkan suasana,” ujarnya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd. Nazri Ajun dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt. Champin Piuh.