Lapan lelaki ditahan, rampasan termasuk diesel bernilai RM1.2 juta di Sepanggar

KOTA KINABALU: Seramai lapan lelaki ditahan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan disyaki penyelewengan diesel bersubsidi menerusi dua operasi di sekitar Sepanggar, di sini, semalam.

Operasi itu turut menyaksikan rampasan kira-kira 23,830 liter diesel, tujuh lori pelbagai jenis serta beberapa peralatan pemindahan minyak dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,224,551.10.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan sebelum Unit Risikan Marin menjalankan intipan selama lima jam.

Beliau berkata, tindakan pertama dilakukan kira-kira jam 3.30 petang apabila pasukan menahan sebuah lori tangki di Jalan Sepanggar menghala ke Bukit Setia.

“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa kira-kira 20,000 liter diesel, sedangkan dokumen penghantaran hanya menyatakan 10,000 liter.

“Pemandu lori turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran sah untuk membawa jumlah diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, susulan penemuan itu, pasukan menyerbu sebuah premis di kawasan Sepanggar kira-kira jam 4.50 petang dan mengesan kegiatan disyaki pembelian serta penjualan diesel secara tidak sah membabitkan beberapa pemandu lori.

Menurutnya, selain diesel dan tujuh lori, rampasan turut membabitkan dua unit tangki skid, tiga tong drum serta dua unit pam elektrik bersama kelengkapan pemindahan minyak.

Katanya, semua lelaki yang ditahan berusia antara 30 hingga 52 tahun dan kini membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan, khususnya diesel bersubsidi.

Katanya, tindakan berterusan itu penting bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dan memastikan subsidi kerajaan dimanfaatkan mengikut tujuan asalnya, bukannya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.