Warga asing ditahan miliki syabu seberat 0.08 gram di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 0.08 gram dalam serbuan di sebuah bilik rumah tidak bernombor di Kampung Ice Box, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek berusia 49 tahun yang bekerja sebagai buruh itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau kira-kira jam 1.50 petang.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, suspek mengaku menyimpan bahan disyaki dadah sebelum menyerahkan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih dipercayai syabu seberat 0.08 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan, pada pagi Jumaat.

Menurut beliau, Polis Daerah Tawau akan terus komited dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut di daerah ini,” tambahnya.