TAWAU: Pemandu lori berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 18.848 kilogram (kg) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di kawasan sekatan jalan raya (RCP) Kalabakan, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Khairul Nizam Bedu Herman, 28, yang bekerja sebagai pemandu lori di Putrajaya, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 18.848 kg ketika melalui kawasan RCP Kalabakan, Jalan Kalabakan-Nabawan, Kira-kira jam 3.30 pagi pada Selasa, 17 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun tidak menawaran ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kesalahan terbabit adalah serius serta tidak boleh dijamin.
Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.