KOTA KINABALU: Komitmen Kerajaan Sabah dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan terus diperkukuh dengan perbelanjaan sebanyak RM254 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dalam tempoh lima tahun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada 141,635 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan 277,124 pelajar sekolah di negeri ini.
Katanya, peruntukan itu turut memberi manfaat kepada 1,537 sekolah termasuk sekolah agama dan 67 persatuan pelajar IPT Sabah, selain membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. Ini kerana pendidikan merupakan asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara.
“Pendidikan juga adalah kunci utama yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, membasmi kemiskinan, dan seterusnya memacu kemajuan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah Tahun 2026 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) bagi pelajar B40.
Daripada jumlah itu, sebanyak 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM87.5 juta dan akan diteruskan pada tahun hadapan.
Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY).
Selain itu, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) turut meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM161 juta setakat 31 Oktober tahun ini.
Hajiji berkata, meskipun pendidikan secara dasarnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan berkualiti.
Katanya, selaras dengan agenda ‘Sabah First’, kerajaan negeri mahu memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada mendapat pendidikan hanya disebabkan kekangan kewangan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik pelbagai inisiatif bantuan pendidikan bagi memastikan penyampaiannya lebih berkesan, telus serta sampai kepada kumpulan sasar.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menjadi pelan strategik utama dalam melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.