Empat emas MSSM, Ayrish Qisya raih dua pengiktirafan APK tahun ini

KOTA KINABALU: Atlet muda olahraga Ayrish Qisya Shahrul Alyandy mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026.

Kejayaan itu turut melayakkannya menerima dua pengiktirafan, iaitu Anugerah PERMATA dan Anugerah Atlet Terbaik Sekolah Rendah pada Majlis Anugerah Pamer Keunggulan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, hari ini.

Ayrish yang merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) St. Agnes, Kota Kinabalu itu berkata, beliau berjaya meraih pingat emas dalam acara 100 meter, 200 meter, 4×100 meter dan 4×200 meter yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang, sempena MSSM 2026.

“Perasaan saya hari ini sangat bangga dan gembira. Saya tidak menyangka saya akan dapat dua anugerah sebab saya pun tidak tahu akan menerima Anugerah PERMATA. Yang saya tahu, saya hanya akan menerima Anugerah Atlet Terbaik Perempuan Sekolah Rendah sahaja,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Ayrish (kanan) ketika menerima Anugerah PERMATA pada majlis APK Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini.

Menurutnya, antara cabaran utama sepanjang perjalanan sebagai atlet ialah mengatasi kemampuan diri sendiri bagi memastikan dapat memberikan prestasi terbaik dalam setiap pertandingan.

“Bagi saya, tips untuk berjaya ialah perlu berdisiplin, mendengar nasihat jurulatih, mengelakkan kecederaan dan menjaga pemakanan.

“Mesti cukup tidur, jaga makan dan kurangkan minum ais,” katanya ketika berkongsi persediaannya sebagai atlet olahraga.

Ayrish yang memberi tumpuan kepada acara 100 dan 200 meter turut menyasarkan untuk kembali menyertai MSSM ketika berada di Tingkatan Satu, selain menyimpan impian untuk mewakili Malaysia dalam sukan olahraga.

Beliau turut menghargai sokongan ibu bapa, jurulatih dan guru yang sentiasa memberikan dorongan serta membantu sepanjang perjalanan beliau dalam bidang sukan.

“Terima kasih kepada ibu bapa saya kerana sentiasa memberikan sokongan dan membantu membiayai yuran latihan serta keperluan sukan saya.

“Terima kasih juga kepada jurulatih yang telah melatih dan menjaga saya bagi mengelakkan kecederaan, serta guru-guru yang sentiasa menjaga dan mengiringi saya sepanjang menyertai pertandingan,” tambahnya.