LAHAD DATU: Polis menahan enam suspek termasuk tiga remaja dalam beberapa siri serbuan berasingan sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah, curi dan curi motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing diberkas menerusi operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sepanjang 15 hingga 17 Julai lalu.
Beliau berkata, pada 15 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun yang disyaki terbabit dalam beberapa siri kes pecah rumah dan curi di Taman Aman, Taman Aman Jaya 3, Taman Gembira, Taman Harapan serta Kampung Sharip.
“Susulan tangkapan itu, pada 17 Julai lalu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di kawasan perumahan Palm Height.
“Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi berasingan, polis turut menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun kerana memiliki sebuah motosikal yang diubah suai tanpa dapat memberikan penjelasan munasabah.
“Seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan bersama sebuah motosikal Yamaha C100 yang dilaporkan hilang pada 16 Julai lalu,” katanya.
Dzulbaharin berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana memiliki motosikal tanpa memberi keterangan munasabah,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan JSJ IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah harta benda dan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah di daerah ini,” katanya.